Monday, September 11, 2006

Menteri-Menteri, Keluarga Mereka dan Bisnes: Sampai Masa Untuk Satu Definasi?

Kerapkali kita dapat melihat menteri-menteri dan ahli keluarga mereka dikritik dan dimaki hamun oleh rakyat kerana penglibatan mereka dalam bisnes.

Atau lebih tepat lagi, bila mereka menerima kontrak-kontrak kerajaan atau dari syarikat berkait kerajaan (GLC) atau mendapat peruntukan istimewa kerajaan, seperti peruntukan saham Bumiputra untuk memenuhi syarat 30% ekuiti korporat dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, mendapat permit istimewa atau mendapat biasiswa kerajaan, geran dan pelaburan agensi kerajaan atau pinjaman bank, tetapi disyaki atau dianggap tidak berdasarkan merit.

Ada beberapa sebab mengapa rakyat Malaysia marah, bila terjadi fenomena begini.

Sememangnya, secara andaian semulajadi, perkara yang pertama yang mereka syaki adalah Menteri tersebut telah menyalahgunakan kuasa atau pengaruh politik beliau, untuk kepentingan kewangan sendiri atau ahli keluarga mereka sendiri.

Kedua, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan proses "socio-economic reenginering" ("pengjuruteraaan sosio-ekonomi") dibawah polisi Dasar Ekonomi Baru (dan penggantinya, Dasar Pembangunan Nasional dan selepas itu, Dasar Wawasan Nasional).

Kabinet Malaysia dan menteri-menteri dianggap sebagai "pemegang amanah" kepada polisi tersebut untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu yang belum lagi berjaya dalam melepasi cengkaman kemiskinan, atau meneruskan pengajian tinggi, memasuki kelas menengah atau meningkat dalam bisnes atau profesion pilihan mereka.

Dan jika ada persepsi yang menteri-menteri ini memberi habuan kewangan kerajaan kepada ahli keluarga mereka, tanggapan semulajadi adalah mereka telah belot kepada agenda nasional dan mula merompak kaum atau anak bangsa mereka sendiri.

Dan persepsi (bias atau tidak) ini cukup mudah untuk diterima rakyat - tambahan lagi, apabila menteri-menteri mempunyai sumber dan harta kekayaan yang mungkin tidak boleh diterangkan kepada Badan Pencegah Rasuah atau Parlimen dan sistem parti mereka terang-terangan bergelumang dalam politik wang, "pengejar kontrak" dan pembelian undi.

Sentimen rakyat ini senang difahami - tetapi untuk berlaku adil kepada menteri-menteri dan ahli keluarga mereka - satu definasi dan polisi yang terang yang dapat menggariskan apa yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat oleh mereka, adalah sangat perlu.

Ini kerana tidak semua yang kita nampak silap itu, sebenarnya silap - dari segi undang-undang atau etika kepimpinan/politik. Jika kita tidak ada garispanduan yang konsisten - hitam dan putih kepimpinan kita akan dipandang berlainan, oleh berlainan orang.

**************************************

Satu polisi nasional perlu digubal supaya menteri-menteri, keluarga mereka dan rakyat jelata, mempunyai fahaman yang serupa dan konsisten, terhadap perlakuan salah dan penyalahgunaan kuasa dan pengaruh politik. Sekali-sekala, situasi yang sama boleh mengundang persepsi yang berbeza, tentang apa yang betul dan salah.

Contohnya, kita harus bertanya: Adakah layak anak-anak Menteri menerima biasiswa kerajaan atau biasiswa syarikat berkait kerajaan (GLC) untuk persekolahan atau pengajian universiti mereka? Jika kita tanya 10 orang, kita mungkin mendapat 3 hingga 5 jawapan berbeza.

Jika ahli keluarga menteri mendapat sebuah kontrak kerajaan (atau syarikat GLC) melalui perundingan terus ("direct negotiation") tanpa campurtangan menteri tersebut, adakah ia sesuatu yang boleh diterima? Apakah definasi "keluarga Menteri"? Satu pupu? Dua pupu? Tiga pupu? Pertalian melalui perkahwinan?

Jika kakitangan kerajaan yang mempunyai kuasa mutlak, memberi sebuah kontrak kerajaan kepada seorang anak Perdana Menteri, kerana hormatnya kakitangan tersebut terhadap Perdana Menteri - dengan tiada langsung dorongan pengaruh politik - adakah salah untuk anak Perdana Menteri itu untuk menerimanya?

Dan jika syarikat ahli keluarga menteri ini memenangi kontrak tersebut secara tender terbuka ("open tender"), adakah ini akan diterima oleh rakyat, tanpa syak wasangka yang mendalam, terhadap pihak yang mempertimbangkan tender tersebut? Dalam situasi apakah yang kita akan percaya bahawa tender terbuka itu dijalankan dengan adil?

Adakah anak-anak menteri layak mendapat peruntukan saham ekuiti Bumiputra 30%? Adakah mereka layak untuk mengepalai satu projek pengswastaan badan kerajaan? Atau menjadi ketua eksekutif sebuah syarikat GLC?

Adakah mereka wajar memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau syarikat-syarikat GLC? Adakah wajar mereka menerima permit istimewa (seperti Approved Permit ("AP") yang banyak, untuk berniaga? Jika menerima geran-geran kerajaan untuk berniaga, adakah itu dianggap sesuatu penyelewengan?

Ataupun adakah kita hanya akan puashati jika ahli keluarga menteri bekerja di syarikat swasta atau syarikat asing (didalam atau diluar negeri) yang tidak punya kaitan langsung dengan kerajaan atau syarikat-syarikat GLC - contohnya, syarikat yang menjual barangan konsumer sahaja?

Adakah merit, kelayakan tulen dan kepakaran, bukan faktor- faktor yang penting, bila kita mempertimbangkan pembabitan ahli keluarga menteri-menteri dalam bisnes yang berkait kerajaan? Adakah persepsi lebih penting dari fakta, dalam menjaga integriti peribadi menteri-menteri atau institusi Kabinet?

Dan adakah wajar pemimpin-pemimpin parti politik kebangsaan membina satu "dinasti politik" untuk menaikkan ahli keluarga dan kaum kerabat mereka, dalam hierarki parti?

Seperti yang telah saya katakan, pendapat awam tentang senario-senario diatas, mungkin jauh berbeza, dari seorang ke seorang.

Dan mungkin itulah salah satu punca masalahnya - umpama semua kucing oren hingga kucing hitam, semuanya boleh dipanggil "kucing hitam", kerana kita sebenarnya secara am, tidak dapat membezakan warnanya.

Seharusnya ada satu polisi kerajaan yang mentadbir kelakuan menteri-menteri dan ahli keluarga mereka mengenai pembabitan mereka dalam bisnes (terutama yang berkaitan kerajaan), baik secara langsung, maupun melalui proksi individu baik syarikat. Perlu ada satu definasi dan kefahaman yang konsisten tentang apa yang hitam dan putih dan polisi tersebut harus dikuatkuasakan.

Dan bila kita menguatkuasakan polisi ini, kita harus adil terhadap semua lapisan menteri atau "hampir menteri" - dari Perdana Menteri kepada Sekretari Parlimen setiap kementerian dan juga mereka-mereka yang dianggap setaraf dalam perkhidmatan awam.

Jangan kita hanya asyik "memburu" ahli keluarga setiap Perdana Menteri yang silih berganti, tetapi kita hanya tutup mata sahaja terhadap salah laku menteri-menteri lain dan ahli keluarga mereka.

Itu bagai cuba membersihkan badan sendiri dengan hanya membasuh kepala sahaja - keseluruhan bahagian badan lain, masih tetap akan kotor dan cemar.

Tetapi pertama sekali - kita mesti tahu apa yang dianggap cemar - nanti takut silap faham, kening kita juga dicukur, untuk tampak bersih.

Friday, September 08, 2006

Memahami Zaman Keterbukaan

Tidak ramai yang sedar bahawa Malaysia sekarang (atau sejak akhir 90'an) semakin mendakap satu zaman yang baru - yang saya suka panggil "Zaman Keterbukaan" ("Age of Openness").

Fenomena ini disebabkan oleh beberapa faktor.

Pertama, pengembangan besar pengundi kelas menengah yang berpendidikan tinggi di Malaysia yang menuntut akauntabiliti dan demokrasi yang lebih matang dari kerajaan, memberi tekanan kepada kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dengan tindakan, polisi dan inisiatif mereka atau kelakuan menteri atau ahli politik kerajaan.

Kedua, kemelut politik akhir 90'an yang melibatkan pemecatan dan pendakwaan berunsur politik Dato' Seri Anwar Ibrahim - mengejutkan rakyat Malaysia dan membawa kepada satu pembangunan kesedaran politik ("political awakening"), mengenai perlunya rakyat menolak budaya politik "Machiavellian" yang melampau dan tidak berbatas- bukannya saja dari pihak Kerajaan tapi juga dari pihak parti lawan.

Ketiga, dan yang saya rasa faktor paling penting adalah - Zaman Keterbukaan ini dimangkinkan oleh teknologi Internet - dimana sebaran am pendapat individu di alam siber, bagaikan serupa dengan sebuah akhbar kecil - boleh dibaca oleh beribu-ribu orang.

Setiap insan diberi kuasa sebaran berpotensi seolah media yang tidak terkawal - bisa berkata apa saja, benar atau fitnah, adil atau tidak, cetek, prejudis atau mendalam pendapatnya. Komen yang kebanyakannya lebih berdasarkan emosi atau agenda terlindung, dari analisa yang mematangkan pendapat awam.

Mendorong keterbukaan dan kebebasan bersuara tanpa had, adalah seperti sebilah pisau. Baik buruknya bergantung kepada niat dan kematangan insan yang menggunakannya.

Jika digunakan dengan baik, ia boleh memotong, menghiris, mengukir, mengupas untuk kebaikan manusia. Jika digunakan dengan niat jahat atau tidak rasional, ia boleh menghunus, menikam, mencederakan orang lain mahupun diri sendiri.

***********************************************************

Zaman Keterbukaan Malaysia sebenarnya melompat dua langkah, sekaligus.

Rakyat bukan sahaja menuntut kebebasan bersuara dan laporan yang tidak berat sebelah melalui akhbar-akhbar cetak tempatan (baik milik kerajaan ataupun milik parti pembangkang) - tapi sebagai reaksi melalui Internet, mereka mula membina dunia media alternatif mereka sendiri untuk menyuarakan pendapat mereka.

Mereka bisa memilih untuk menerima atau menolak versi "kebenaran" yang dicanang oleh akhbar-akhbar yang bertuankan parti dan agenda politik.

Di negara-negara maju, banyak syarikat-syarikat akhbar dan media neutral yang tidak dipunyai oleh parti politik atau kerajaan. Pihak media berupaya mengeluarkan laporan dan pendapat-pendapat yang bebas dan berkecuali -walaupun mereka masih dipagar oleh lunas-lunas ketertiban undang-undang fitnah ("defamation laws")

Dan dalam demokrasi Barat yang lebih liberal, kebebasan bersuara pihak akhbar dan media adalah seperti suatu kalimah suci - ia tidak boleh dipersoalkan dan dianggap sebagai tunggak kebebasan suara rakyat dan bertindak sebagai pelindung dari penyalahgunaan kuasa pihak eksekutif kerajaan.

Kita sering melihat kepimpinan politik di negara-negara Barat yang amat "berakal media" (media-savvy) - contohnya, kerajaan Amerika Syarikat.

Oleh kerana budaya keterbukaan media yang telah lama bertapak dalam sejarah mereka - setiap Presiden Amerika (sekurang-kurangnya dari 30 tahun dahulu) mempunyai satu unit komunikasi yang terdiri dari berpuluh individu bijak pandai yang kerjanya mengukur (atau memanipulasi) reaksi media terhadap polisi, politik atau personaliti kerajaan, memilih dan merancang respons yang terbaik (dan seringkali, ini lebih menjurus kepada "spin" atau "putaran" fakta) dan menilai kesannya keatas populariti Presiden Amerika Syarikat dan kepimpinan beliau.

Mungkin dari satu segi, kita melihat semua ini sebagai satu permainan/penipuan yang besar. Di satu belah, akhbar-akhbar yang gemar mengorek dan mendedahkan berita sensasi kesilapan dan korupsi kerajaan (ataupun skandal peribadi ahli politik, seperti skandal Bill Clinton/Monica Lewinsky) untuk melariskan jualan akhbar mereka dan di belah yang satu lagi - "spinmasters" (pakar "putar" komunikasi) politik yang mewakili pihak Presiden dan kerajaan.

Lazimnya - yang menjadi mangsa adalah kebenaran.

Rakyat biasa yang mungkin kurang informasi dan tidak tinggi kebolehannya menganalisa polisi dan politik semasa - memilih produk "kebenaran" mereka berdasarkan fakta-fakta "putaran" kedua-dua belah dan memilih satu pihak, untuk mereka "sokong", atas penilaian yang tidak menyeluruh, keliru dan dangkal.

Selepas itu, apa saja yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi, selepas itu - tidak diterima lagi. Mereka telah memilih "pasukan" mereka.

Ini mungkin salah satu sebab mengapa lebih sedikit dari separuh dari pengundi Amerika masih lagi memilih George Bush Jr. yang kejam dan diabolik itu (lihat sajalah tindakan tidak berperi kemanusiaan Amerika Syarikat di Afghanistan dan Iraq) sebagai Presiden mereka, buat penggal yang kedua.

Saya percaya bahawa unit komunikasi Presiden Bush amat "cekap" sekali dalam mematahkan serangan-serangan pihak lawan melalui media cetak dan elektronik - bukan saja dari Amerika tapi sedunia.

*********************************************

Tapi pengajaran sebenar untuk semua kerajaan yang mendakap fenomena keterbukaan, dari kerajaan Amerika adalah yang berikut:

Suasana dan budaya keterbukaan memerlukan pengurusan yang spesifik dan berfokus, untuk melindungi pemimpin atau kerajaan dari tumbang berkali-kali, kerana kehilangan populariti dan sokongan rakyat - dari kesan isu-isu yang diketengahkan oleh pihak media.

Seperti kata salah satu pengkomen blog saya: Kebanyakan rakyat lazimnya tidak menilai baik-buruknya polisi kerajaan. Sokongan (atau tentangan) mereka masih lagi berdasarkan emosi dan persepsi, apa yang dipaparkan oleh media cetak atau elektronik dan bualan hangat di kedai kopi.

Mana-mana kerajaan sekalipun yang ingin menggalakkan budaya keterbukaan politik, mesti mengambil kira strategi perhubungan dan media, untuk mempertahankan kepimpinan dari kesan-kesan kumulatif berita buruk yang boleh menghakis kredibiliti kerajaan.

Adalah satu realiti budaya keterbukaan dalam mahkamah pendapat awam (public opinion)- yang pihak yang dituduh dan diam, akan disangka bersalah.

Tidak ada kerajaan yang sunyi dari membuat kesilapan. Dimana ia boleh diperbetulkan, ia patut diperbetulkan. Dimana perahu sudah terlajak mustahil diundur, kesan negatif dari kesilapan tersebut harus dibendung dan respons yang sesuai harus diberi. Dimana perkara yang dikatakan itu tidak benar, ia harus disangkal dengan serta-merta, dengan fakta sokongan yang kuat.

Ini suatu kewajiban bagi kerajaan yang menyokong budaya keterbukaan - belajar menangani kesan keterbukaan tersebut dan sedikit sebanyak, belajar membentuk pendapat awam melalui strategi media dan komunikasi yang efektif.

Keperluan strategi ini menjadi lebih meruncing bila kita pertimbangkan impak media elektronik individu seperti e-mail dan weblogs ("blogs"). Sekarang ini, sesiapa saja boleh menjadi "akhbar kecil" melalui jendela Internet yang bebas tanpa tapisan, batasan atau kekangan perlesenan media dan pendapat mereka dibaca oleh beribu raktyat dan orang, di seluruh pelusuk dunia.

Baik atau buruk, prejudis atau adil, ekstrim atau sederhana, berlandaskan kebenaran atau kepalsuan dan agenda buruk - mereka tidak mempunyai akauntabiliti kepada sesiapa pun, kecuali bendungan undang-undang, yang sering longgar perlaksanaannya. Ini umpama seperti koboi Amerika di zaman "Wild, Wild West" - satu zaman dimana si jahat berleluasa.

Malaysia, dibawah kepimpinan kerajaan Abdullah Badawi melangkah lebih berani kedalam Zaman Keterbukaan dan menggalakkan pemerintahan kerajaan yang telus dan mempunyai akauntabiliti .

Tetapi jika kerajaan Abdullah Badawi tidak faham akan "realiti" Zaman Keterbukaan, secara tidak sengaja, ia bisa menjadi mangsa pertama fenomena sosial yang buas dan rawak ini. Dan lebih membimbangkan - adalah bila suasana keterbukaan ini digunakan oleh pihak-pihak ekstrim berpuak (baik dari segi perkauaman, politik atau agama) yang melangar etika tatasusila negara majmuk seperti Malaysia.

Kita mesti mempersoalkan sekali-sekala, apa gunanya kebebasan dan keterbukaan bila puak ekstrim bermaharajalela dan "golongan tengah" yang sederhana (lagi senyap) tidak dapat lagi menjaga atau menjana perpaduan yang sedia ada, di Malaysia.

Sunday, September 03, 2006

UMNO: Mengundang Kejatuhan Presiden Parti?

"Parti UMNO tunjang kepimpinan negara Malaysia. Huraikan"

Jika ayat diatas satu soalan peperiksaan di sekolah menengah, mungkin ramai yang tersinggung akan nadanya yang menggambarkan bahawa UMNO sebagai sebuah parti politik, adalah lebih penting daripada parti-parti politik yang lain, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Tapi kebenaran ayat diatas tidak dapat dinafikan - jika kita mengambil kira bahawa pemimpin teratas kerajaan campuran Barisan Nasional, semestinya adalah seoarang Presiden UMNO. Pemimpin teratas Barisan Nasional menjadi Perdana Menteri - tetapi Presiden UMNO hanya dipilih oleh perwakilan yang mewakili 3.2 juta orang ahli UMNO.

Rakyat Malaysia hanya dapat memilih kerajaan mereka melalui parti yang mereka sokong atau undi, setiap 4 hingga 5 tahun.

Tetapi hakikatnya - segelintir kecil perwakilan dalam parti UMNO memutuskan jatuh bangunnya seorang Presiden UMNO - dan kita sudah dapat melihat proses "demokrasi kecil" parti ini memainkan peranan penting dalam perpecahan UMNO pada pertengahan 80'an - di mana Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad menang keatas lawannya, Tengku Razaleigh Hamzah, dengan amat tipis sekali - hanya 51 undi.

Tapi yang menang, tetap menang - walaupun parti UMNO terbelah dua, hampir sama rata.

Dan implikasi politik (dan bisnes Melayu, bagi mereka yang menyokong pihak yang kalah), selalunya amat dahsyat sekali dan kerapkali, mengakibatkan kemunduran ekonomi dan bisnes Melayu, kerana setiap kali UMNO berpecah - kita "memusnahkan" golongan politik dan bisnes yang berkait rapat dengan pihak yang kalah - dan dalam konteks perpecahan UMNO, ini selalunya hampir separuh atau sebahagian besar dari golongan bisnes dan ekonomi Melayu.

Mungkin dalam UMNO, budaya "pemenang mengaut segalanya" (winner takes all) sudah menjadi lumrah berpolitik. Tapi kita harus risau bila kepentingan UMNO melebihi kepentingan orang Melayu yang mereka wakili dan juga rakyat Malaysia yang lain, yang mengharapkan kepimpinan yang matang dari dalam UMNO, supaya mereka memperolehi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Ya, kita harus akui pentingnya peranan UMNO dalam kepimpinan Malaysia. Hanya perwakilan UMNO dapat mengekalkan kedudukan Presiden parti dan secara langsung, kedudukan Perdana Menteri Malaysia. Mereka yang bukan dalam UMNO, (melainkan kita menolak kerajaan Barisan Nasional dalam proses pilihanraya) hanya mampu melihat sahaja, konflik dan penyelesaian dalam parti UMNO.

Soalannya: Dalam zaman globalisasi yang kompleks ini, adakah UMNO cukup matang untuk memilih seorang pemimpin yang berani membuat perubahan-perubahan asas yang perlu, untuk Malaysia bertahan di persada ekonomi dunia? Dan memimpin Malaysia memenuhi potensinya sebagai negara maju yang berteraskan Bangsa Malaysia yang bersatu?

******************************************************

Kebelakangan ini, sudah mula terdengar suara-suara dari luar UMNO yang meminta Perdana Menteri kita, untuk berundur dan melepaskan jawatan beliau.

Ini bukanlah kali pertama, kedengaran suara-suara dari luar ini - mereka hadir dalam setiap generasi. Selepas peristiwa hitam rusuhan perkauman 13 Mei 1969, Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman, telah disuruh berundur oleh mereka yang mempertangungjawabkan beliau, atas tragedi tersebut.

Tunku telah diberi "persaraan" politik yang menjaga air mukanya - tetapi kuasa politik beliau telah dikekang dari tahun 1969 lagi dan secara efektif diambil alih oleh Tun Abdul Razak, selama 2 tahun sebelum "persaraan rasmi" Tunku terjadi.

Bekas perdana menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) juga (yang umumnya disanjungi oleh ramai rakyat Malaysia) telah menghadapi suara-suara dari luar ini, selepas kemelut politik "reformasi" Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Dan walaupun Barisan Nasional menghadapi cabaran sengit dari parti lawan pada tahun 1999 dan pelbagai tohmahan dilempari terhadap Dato' Seri Dr Mahathir oleh sebahagian besar rakyat jelata yang jelas marah terhadap tindakan beliau terhadap Dato' Seri Anwar, tetapi parti UMNO tetap menyokong beliau dan beliau tetap kekal sebagai Presiden UMNO.

Ada dua faktor utama yang mempengaruhi jatuh bangunnya seorang Presiden UMNO, walaupun nyaring suara-suara luar yang memekik, menuntut perletakan jawatan.

Pertama, jika Presiden UMNO mempunyai Timbalan Presiden yang setia menyokong kepimpinan beliau. Jika kita singkap sejarah UMNO, kedudukan Presiden UMNO hanya dapat digugat jika Timbalan Presiden Parti UMNO, tidak setia kepada beliau (Dr Mahathir sendiri pernah mengalami situasi sebegini dua kali dalam tahun-tahun beliau menjadi Perdana Menteri)

Dalam konteks ini, pilihan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad setiap kali UMNO menghadapi krisis dalaman atau luaran, perlu kita ambil teladan.

Tun Ghafar Baba membawa kestabilan politik yang perlu dalam UMNO, selepas perpecahan politik pertengahan 80'an yang membawa kepada pengharaman UMNO lama. Setelah UMNO stabil dan khidmat Tun Ghafar tidak diperlukan lagi, sokongan Presiden parti beralih pula kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan UMNO tahun 1993.

Dalam kemelut politik "reformasi" pula, Dato' Seri Dr Mahathir memilih Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam tahun 1999 dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Abdullah Badawi, telah menentukan kestabilan dalaman UMNO dan memberi ruang yang perlu bagi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, menghadapi krisis ekonomi Asia Tenggara dan menumpulkan cabaran hebat politik "refomasi".


Faktor kedua adalah kredibiliti Presiden parti dalam UMNO sendiri. Walaupun ramai yang tidak puas hati terhadap politik "Machiavellian" beliau pada zaman "reformasi", tetapi kredibiliti Dr Mahathir dari segi pengendalian ekonomi semasa, tetap kukuh.

Ahli parti UMNO membuat perbandingan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain (tidak termasuk Singapura, yang boleh dianggap status negara maju) dan sedar bahawa orang Melayu dan Malaysia tidak merasa bala krisis ekonomi tersebut, seteruk negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Tidak dapat dinafikan juga bahawa salah satu formula kejayaan kepimpinan Dr Mahathir adalah kebolehan beliau sendiri menerangkan isu-isu kompleks seperti spekulasi matawang dan keruntuhan ekonomi yang terlibat, kepada rakyat jelata berbagai peringkat pendidikan, dengan cara yang mudah difahami dan diterima.

Ini patut diambil teladan oleh mana-mana pemimpin politik di Malaysia, terutamanya yang bergelar presiden parti atau perdana menteri. Rakyat Malaysia pada hari ini mahukan kepimpinan intelektual yang boleh mereka yakini.

Memanglah tidak semua pemimpin politik di dunia ini yang pandai atau paling kurangnya, bijak berpidato dan berkarisma. Tetapi kebolehan berkomunikasi dengan efektif dan menerangkan dengan jelas, polisi-polisi utama kerajaan kepada rakyat, adalah amat penting untuk seorang Presiden parti atau Perdana Menteri.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan juga bukanlah seorang intelektual atau berkelayakan tinggi - tapi beliau popular kerana personaliti "baik dan ramah" beliau dan boleh menerangkan polisi-polisi kerajaan beliau dengan baik - walaupun beliau bukan pihak yang memikirkan dan menggubal polisi-polisi tersebut.

Ronald Reagan banyak berharapkan penasihat-penasihat ekonomi dan politik beliau (dan lazimnya, ramai Presiden Amerika yang lain juga begitu) - tetapi rakyat Amerika sendiri jarang mempersoalkan kebolehan beliau memahami polisi-polisi kerajaan beliau - kerana Reagan amat cekap berkomunikasi dengan rakyat Amerika dan mereka percaya akan ketulusan beliau dalam mengutamakan keperluan rakyat jelata.

Mungkin Reagan patut menjadi model untuk Abdullah Badawi dan ramai lagi pemimpin UMNO untuk membina acuan mereka sendiri - sebenarnya tidak ramai pemimpin UMNO peringkat atasan yang boleh meniru dan menggayakan "kepimpinan intelektual" Dr. Mahathir. Dan mereka tidak harus mencuba pun - perbandingannya tidak akan adil. Bak pepatah Inggeris, "Tidak semua manusia dicipta sebanding" ("Not all men are created equal")

Dan rakyat Malaysia juga harus mula menerima yang kita tidak akan ada satu lagi Dr. Mahathir dalam masa yang terdekat - sistem pemilihan UMNO tidak berupaya untuk menghasilkan setengah dozen pun manusia cemerlang intelek seperti itu, yang dapat meningkat dalam UMNO. Manusia seperti ini hanya mungkin naik dalam zaman Tun Razak sahaja, di mana politik wang masih belum berleluasa.

Kita harus mula menerima yang pemimpin selepas Dr Mahathir perlu mengharapkan penasihat-penasihat mereka, untuk menjalankan tugas mereka dengan baik.

Dan tidak ada salahnya pendekatan tersebut - ramai Presiden dan Perdana Menteri negara maju diseluruh dunia yang mempunyai unit penasihat polisi yang agak besar (kira-kira seramai 60-100 orang, secara puratanya) untuk menasihati mereka tentang isu-isu nasional dan antarabangsa. Lebih baik seorang pemimpin yang tau bertanya daripada pemimpin yang bodoh sombong.

Dan apapun yang terjadi, sejarah negara harus terus maju dengan pemimpin-pemimpin yang menggantikan pemimpin-pemimpin agung yang kita sanjungi.

Amerika tidak runtuh selepas Presiden ke 32-nya yang berkarisma, Franklin D. Roosevelt setelah diganti oleh Harry S. Truman, yang merendah diri. Britain juga tidak runtuh selepas perdana menterinya, "Wanita Besi" Margaret Thatcher bersara dan diganti oleh John Major, yang dikatakan tidak berpersonaliti. Negara China juga terus maju selepas pemimpin agung Deng Xiaoping, diganti oleh Jiang Zemin.

Gaya pemimpin memang berbeza - apa yang penting adalah isinya - adakah ia membawa manafaat kepada rakyat dan negara? (dan bukan sekadar menguntungkan oligarki ahli parti politik sahaja?)

****************************************************

Tetapi kita berbalik kepada isu asal - adakah orang UMNO cukup matang untuk membezakan fakta dan sentimen yang berkait beberapa isu tertentu, dalam membuat keputusan mengenai Presiden parti mereka?

Memang ada kelemahan-kelemahan yang perlu ditangani dengan berkesan, dalam kerajaan Abdullah Badawi. Isu-isu seperti hakmilik Pantai Holdings, Proton dan penjualan MV Augusta, jambatan bengkok ke Singapura, isu penggabungan ECM Libra dan Avenue Capital, isu AP, isu pemberian kontrak kepada Scomi dan watak politik menantunya, Khairy Jamaluddin dan individu-individu lain yang berkait - menjadi satu liabiliti besar kepada Abdullah Badawi.

Ada dikalangan rakyat Malaysia yang mula cuba menggambarkan Abdullah Badawi, seumpama Suharto dan Arroyo, jenis pemimpin Asia Tenggara yang mengaut kekayaan rakyat dan kerajaan untuk keluarga sendiri. Persepsi ini, harus dihindar dan dipatahkan kerana ia boleh membawa kemusnahan.

Penerangan mengenai isu ekonomi juga perlu ditingkatkan. Rakyat ingin tahu mengapa kadar penumbuhan ekonomi dibawah kerajaan Abdullah Badawi tidak setinggi dahulu dan mengapa langkah "pump-priming" untuk menjana penumbuhan ekonomi tidak wajar dilakukan lagi. Rakyat ingin tahu mengapa subsidi minyak tidak wajar ditinggikan, walaupun Petronas beruntung berkali-ganda dengan kenaikan harga minyak?

Ini semua harus diterangkan dengan terperinci - jika pakar-pakar ekonomi di Malaysia faham akan isu ini, mengapa penerangan ini tidak disebarkan kepada rakyat jelata?

Jika kerajaan Abdullah Badawi tidak menerangkan isu-isu sebegini, ini membuka peluang pada mereka yang berniat serong yang akan memesongkan pemahaman rakyat dengan soalan-soalan dan penerangan berat sebelah dan separuh masak, untuk menggambarkan kelemahan pendekatan ekonomi kerajaan Abdullah Badawi.

Janji-janji pilihanraya seperti menghapuskan korupsi juga masih ditunggu dan dituntut rakyat. Masih ramai yang ingin melihat Menteri (atau pemimpin Barisan Nasional) yang dipercayai korup, untuk jatuh.

Penasihat-penasihat komunikasi, media dan perhubungan awam Abdullah Badawi juga harus dipertanggungjawabkan keatas imej negatif beliau. Sesetengah jawapan oleh Abdullah Badawi yang diberi dalam program TV nasional yang mungkin silap atas faktanya, yang membawa persepsi amat buruk terhadap Perdana Menteri.

Imej Perdana Menteri juga dikatakan menjemukan dan tidak berkarisma. Hendak tak hendak, ini memberi imej yang Perdana Menteri lesu, tua dan tidak berwawasan. Orang Malaysia ni, sudah biasa membaca buku dari luarnya sahaja. Ini zaman dimana ceteknya pemikiran, membawa kepada persepsi dianggap realiti.

******************************************************

Iya, memang ada isu-isu dan kesilapan-kesilapan besar yang berlaku dalam kerajaan Abdullah Badawi - tapi adakah ini cukup untuk orang UMNO memutuskan bahawa beliau tidak layak lagi menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri?

Pada pendapat saya, tidak.

Ada perdana menteri yang lepas yang telah membuat kesilapan-kesilapan yang lebih besar dan dahsyat, tetapi tidak digantikan oleh orang lain. Jika mereka tidak diganti, maka Abdullah Badawi juga patut diberi peluang untuk menyambung mandatnya.

Sebenarnya, dari segi polisi dan institusi nasional yang penting, era Abdullah Badawi membawa banyak perubahan yang bermakna.

Reformasi syarikat berkait kerajaan ("GLC reform") yang sistematik dengan pengurus-pengurus profesional yang berbakat, pendekatan yang berfokus modal insan ("human capital"), menjana pembangunan dalam aktiviti rangkaian ekonomi bernilai tinggi seperti perkhidmatan profesional, perbankan Islam, industri halal dan bioteknologi, mengembalikan kebebasan sistem perundangan, memesatkan lagi pembangunan luar bandar dan program pertanian moden yang akan menaikkan taraf hidup glongan miskin diluar bandar, reformasi keatas institusi polis, penekanan kepada perlaksanaan menghapuskan kemiskinan mutlak tanpa mengira kaum, memperbaiki perkhidmatan dan perlaksanaan perkhidmatan awam dan juga pengangkutan awam, menggalakkan budaya bisnes Bumiputra yang berdaya saing, biasiswa untuk semua pelajar cemerlang dari keluarga miskin dan sebagainya.

Tapi selalunya, rakyat tidak melihat pada polisi kerajaan secara menyeluruh - walaupun ia banyak merubah keadaan semasa dan masa depan. Walaupun ia lebih baik untuk generasi masa depan dan membina tapak yang kukuh, untuk persaingan global.

Mereka berkiblatkan kepentingan sendiri dahulu dan akibatnya, bagi mereka, kerajaan yang menaikkan harga minyak adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab. Walaupun krisis minyak adalah satu fenomena global dan kenaikan harga minyak (dan krisis tenaga) di negara-negara jiran, telah bermula sekurang-kurangnya setahun lebih awal.

(Contohnya, di Filipina pada tahun 2005, pendingin hawa di kompleks membeli-belah hanya dipasang pada separuh tenaga sahaja dan kakitangan kerajaan bekerja kurang masa untuk menjimatkan elektrik)

Tetapi soalan yang lebih penting adalah: Jika dibuang Abdullah Badawi atas beberapa kepincangan tertentu, adakah penggantinya akan lebih berani dan efektif, (dari segi polisi) dari beliau? Dan jika orang ini juga (secara perseorangan) kita anggap kurang pintar, berkarisma dan tegas dari Dr Mahathir, adakah kita akan akhirnya membuang beliau juga?

Dan lagi, jika kita kita bertukar Perdana Menteri sekalipun, tidak bermakna, jika hampir kesemua ahli kabinetnya masih orang yang sama. Itu bagai memecat kapten bola setelah permainan seri dan mengekalkan kesemua pemain yang lain!

Ya, hak menukar Presiden adalah hak mutlak demokrasi pemimpin-pemimpin UMNO. Tapi kita berharap ahli-ahli UMNO akan mempertimbangkan dengan semasak-masaknya, sebelum membuat keputusan yang drastik, yang mungkin merugikan rakyat. Amanah rakyat jangan dipersiakan.

Terimalah realiti: tidak akan ada lagi orang berkaliber Dr. Mahathir yang akan mencapai kepimpinan teratas UMNO dalam masa yang terdekat. Mungkin klon Dr Mahathir juga tidak secekap yang "original".

Ukuran sebenar adalah - berdasarkan situasi sekarang, adakah kerajaan Abdullah Badawi merosakkan pembangunan Malaysia dan wajarkah UMNO mengundang kejatuhan Presiden parti mereka sendiri?

Sebagai ahli parti (atau organisasi lain), kita harus mengingatkan pemimpin-pemimpin kita jika mereka tersalah langkah - itu tanggungjawab kita, sebagai pengikut yang baik. Dan kita harus memberi peluang kepada mereka untuk melaksanakan akauntabiliti kepada ahli dan kepada rakyat.

Tapi kita hanya patut mengganti pemimpin apabila tindakan mereka, jelas belot, ingkar atau tidak mencerminkan kehendak majoriti atau tatasusila parti . Memang pernah ada pemimpin sebegitu dalam UMNO - tapi buat masa sekarang, pada pendapat saya - orang itu bukan Abdullah Badawi.

Monday, August 28, 2006

Integrasi Nasional - Di Mana Keikhlasannya?

Bila pemimpin politik dan kaum ibubapa membicarakan integrasi nasional anak-anak-muda, saya selalu menyoal sejauh mana keikhlasan mereka.

Mereka sering menyuarakan kebimbangan mereka tentang polarisasi kaum di sekolah (mahupun di universiti) dan kerajaan menyahut dengan program seperti Program Khidmat Negara yang menelan belanja berjuta-juta Ringgit - tetapi dengan kejayaan yang terhad, terhadap sebilangan kecil lepasan sekolah.

Statistik yang pernah diberikan kepada saya oleh biro pendidikan sayap politik kerajaan dalam sebuah forum perbincangan profesional muda, amat membimbangkan - hanya 5% pelajar Cina di peringkat sekolah rendah yang masih bersekolah di sekolah kebangsaan.

(Antara sebab-sebab yang diberikan adalah teknik, tekanan dan kualiti pengajaran di sekolah-sekolah Cina dan juga isu-isu menjaga bahasa dan budaya Cina, dalam komuniti Cina)

Maksudnya, hampir kesemua pelajar di sekolah kebangsaan adalah pelajar Melayu dengan sebilangan minoriti kecil pelajar India dan lain-lain bangsa. Boleh disimpulkan bahawa dalam 13 tahun yang pertama seorang kanak-kanak Melayu atau Cina, pergaulan antara mereka (di sekolah) tidak berlaku.

Sementara ahli politik dan kaum ibubapa sibuk mengutarakan kebimbangan mereka mengenai integrasi kaum, tetapi sebagai orang dewasa - tapi mereka sering masih terus hidup dengan menunjukkan contoh yang sebaliknya.

Parti-parti politik kita masih berdasarkan kaum. Ini dengan sendirinya tidak salah, memandangkan sejarah negara kita - tetapi apa yang salah adalah selepas 50 tahun, setiap generasi ahli politik tempatan masih lagi memainkan politik perkauman, untuk mengapi-apikan sokongan akar rumpun politik atau untuk mengukuhkan perpaduan sesama sendiri.

Baru-baru ini, kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengenai parti-parti komponen lain yang mungkin mengambil kesempatan atas perpecahan dalam UMNO, hangat diperdebatkan dalam perhimpunan MCA.

Jika Khairy tersilap langkah dan kurang sensitif terhadap perasaan parti komponen lain (dan ini bergantung kepada mereka yang menilai), perlu kita ingat bahawa ini bukanlah kali pertama pemimpin dari parti komponen Barisan Nasional memainkan "kad perkauman" (race card) dalam meraih sokongan.

Sejarah Barisan Nasional penuh dengan taktik-taktik begini - jika kita singkap akhbar-akhbar dari 20 tahun lepas hingga sekarang - kita akan lihat berbagai ugutan yang lebih dahsyat lagi, seperti ugutan membakar Dewan Perkumpulan Cina (Chinese Assembly Hall) oleh pemimpin UMNO, bila kedua parti komponen (atau sayap politik mereka) bertelagah mengenai isu-isu nasional.

Dan sebaliknya juga - bila pemimpin-pemimpin MCA menyentuh soal hak-hak istimewa orang Melayu melalui media terbuka, untuk menunjukkan kegagahan mereka kepada golongan penyokong dalam parti mereka.

Dan walaupun sikap seperti ini boleh dianggap ekstrim oleh kebanyakan pihak, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang melaung sentimen seperti ini sering dianggap wira dalam parti mereka - dan sesetengahnya, sekarang memegang jawatan tinggi dalam parti mahupun Kabinet.

Ya, memang diakui yang apa saja persengketaan dalam Barisan Nasional diselesaikan oleh pucuk pimpinan mereka secara konsensus. Tetapi penyelesaian berulang dengan kaedah ini sebenarnya hanya merapatkan pucuk pimpinan sahaja dan menjauhkan lagi jurang pemimpin-pemimpin akar rumpun Barisan Nasional.

Ia menghakis kepercayaan diantara mereka dan walaupun masa yang lama berlalu (seperti 30- hingga 50 tahun), Barisan Nasional masih tidak mampu menghasilkan satu "politik Malaysia" yang tulen diantara ahli-ahli parti komponen mereka sendiri - yang tidak bergantung pada campurtangan pucuk pimpinan.

Sifat saling percaya mempercayai masih berkurangan diantara mereka - ia masih bersifat gabungan praktikal berkongsi kuasa ("power-sharing") yang "superficial" dan bukan mengevolusikan sifat politik Malaysia yang lebih matang - yang bisa mengambil kira kepentingan dan perasaan semua pihak dalam menyelesaikan kekusutan politik dan yang tidak rela mengapi-apikan sentimen perkauman, untuk kepentingan sendiri atau parti.

Ini adalah satu kegagalan yang besar dan ia membunuh kredibiliti orang politik bila membicarakan isu integrasi nasional. Di mana keikhlasannya bila pemimpin-pemimpin politik kita tidak dapat menunjukkan contoh yang terbaik, dalam berkelakuan seperti rakyat Malaysia?


***********************************************

Tetapi terlalu mudah kalau kita menuding jari kepada pemimpin politik dan menteri-menteri pendidikan dalam kemelut polarisasi kaum ini, diantara muda-mudi Malaysia.

Pada unit yang paling asas, keluarga adalah satu lagi komponen kepimpinan yang bisa merubah sikap anak-anak muda dalam isu integrasi nasional. Anak-nak mengikut teladan kita yang dewasa.

Cuba tanya diri sendiri: Jika kita tidak mengira rakan sekerja atau bisnes, berapa ramai teman rapat dari etnik/bangsa lain yang kita sebenarnya ada?

Maksud saya, teman yang benar-benar rapat - yang bukan saja mengenal diri kita, tetapi juga saling mengenal diantara keluarga masing-masing dan yang kita luangkan masa untuk membina persahabatan yang lebih rapat?

Saya selalu keliru bila mendengar orang yang bercakap mengenai integrasi nasional dan menyalahkan sistem persekolahan kita atas kepincangan yang terjadi - tetapi kesemua rakan-rakan (baik di tempat pendudukan, tempat kerja atau aktiviti ko-kurikular) adalah dari etnik/bangsa sendiri. Apa mereka berfikir sebagai ketam mengajar anak berjalan?

Kegagalan pihak ibubapa menjadi "orang Malaysia" yang sebenarnya (dan bukan hanya etnik Melayu/Cina/India berbumbung di Malaysia) merencat dan melumpuhkan kebolehan generasi kemudian membina integrasi nasional yang lebih kukuh. Sebenarnya jika pihak ibubapa gagal, mereka sendiri dengan tidak sengaja, meruntuhkan integrasi nasional.

Usah kita tanggungjawabkan perkara integrasi nasional ini kepada kerajaan dan sekolah semata-mata. Ini menjadi kata dulang paku serpih. SEMUA rakyat Malaysia bertanggungjawab membina integrasi nasional dan pemahaman yang lebih dalam mengenai budaya etnik bangsa anak Malaysia yang lain.

**********************************************

Integrasi nasional hanya akan berlaku jika pergaulan diantara kaum, disengajakan secara sedar dan tidak menunggu "evolusi tanpa pimpinan" berlaku.

Bukan sahaja sekolah, kualiti pendidikan dan isu budaya/bahasa yang menceraikan pergaulan antara kaum. Faktor-faktor lain juga memainkan peranan yang penting.

Secara makronya, pendudukan adalah satu faktor yang penting. Kebelakangan ini, kita seolah dapat melihat pendudukan bandar yang hampir kesemuanya terdiri dari satu bangsa etnik sahaja.

Shah Alam, Cheras, Bangi, Puchong adalah antara contoh-contoh yang baik, untuk fenomena ini. Dan jika ada bangsa etnik lain pun, mereka berkelompok dalam satu kawasan tertentu.

Ada satu pilihan "natural" yang menjurus terhadap pendudukan dimana bangsa/etnik sendiri adalah satu majoriti yang besar. Mungkin ada keselesaan semulajadi, dalam berkelompok dalam komuniti yang satu agama atau satu bangsa etnik.

Tetapi tidak ada sekolah (atau kerajaan) yang dapat menentukan satu komposisi berbilang bangsa dalam sekolah tersebut bila pendudukan bandar tersebut, hampir satu bangsa etnik sahaja (mono-racial).

Satu lagi, komposisi etnik di tempat kerja juga memainkan peranan yang penting dalam integrasi nasional.

Terlalu banyak syarikat yang mempunyai satu bangsa etnik sahaja - dan kerapkali, hanya mengamalkan satu bahasa sahaja (terutama dalam syarikat kecil) dalam pekerjaan mereka.

Dan dalam syarikat-syarikat besar dan ternama pula, sekali-sekala timbul pula kelompok "kelas pekerjaan mengikut bangsa" atau dimana satu unit/bahagian dalam syarikat tersebut akan mempunyai satu bangsa majoriti yang khusus - kerapkali, untuk memuaskan peraturan kuota "30 peratus" semata-mata.

Secara tidak sedar, situasi "mono-racial" ini juga menggalakkan kelemahan dalam penguasaan bahasa Inggeris, yang menghakis daya persaingan nasional.

Salah satu sebab penguasaan bahasa Inggeris adalah lebih baik diantara kalangan pelajar-pelajar di kawasan bandar adalah kerana pergaulan dengan etnik/bangsa lain di sekolah, tempat bersukan ataupun di pusat-pusat tuisyen. Secara amnya, kebanyakan orang tidak akan bertutur dalam bahasa Inggeris, jika kesemua dalam komuniti itu berbangsa sama dan gemar berbahasa ibunda.

Pilihan jurusan pendidikan dan karier juga menjadi salah satu faktor penting dalam integrasi nasional.

Kita masih dapat melihat setengah-setengah jurusan akademik seperti "accountancy" "life sciences" dan "economics" yang masih lagi kurang diceburi oleh orang Melayu. Jurang dalam pilihan kepakaran ini, membawa kepada jurang dalam profesion yang diceburi kemudiannya dan membawa kepada jurang kepakaran profesional yang berbilang bangsa.

**************************************

Kerakyatan berbilang bangsa sudah semestinya membawa cabaran-cabaran yang berbagai, terutamanya dalam integrasi nasional. Bangsa berlainan, membawa kepercayaan, sikap dan cara yang berlainan - mencari keseimbangan ekonomi atau politik dalam keadaan sebegini adalah satu kerja yang cukup kompleks.

Pada satu tahap, Malaysia adalah satu teladan yang baik kerana mempunyai politi yang berbilang bangsa, tapi masih aman sentosa. Kita tidak berperang seperti banyak negara-negara dunia ketiga yang lain.

Tapi pada tahap yang lain, kita masih jauh dibelakang negara-negara yang mempunyai integrasi nasional yang kukuh dan boleh membina negara mereka dengan polisi yang memantapkan daya saing nasional, yang menjurus kepada meningkatkan produktiviti, perkembangan ekonomi yang konsisten dan pembahagian kekayaan yang adil.

Masih banyak-banyak polisi-polisi kerajaan yang berkiblatkan politik, lebih dari menekankan apa yang baik, untuk kesemua rakyat Malaysia. Cara kita melaksanakan program pembasmian kemiskinan sahaja, sudah cukup untuk membuktikan ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan politik di Malaysia adalah rapuh dan bersandarkan perkembangan ekonomi yang sihat, supaya tiada bangsa etnik yang merasa tersisih dari arus kemajuan.

Sebenarnya "perpaduan plastik" ini sahaja tidak cukup - jika kita tergelincir dari segi ekonomi - dan segalanya mungkin dalam dunia global yang kompetitif kini - "perpaduan plastik" ini akan retak dan mengakibatkan ketidakstabilan politik yang akan membawa pada kejatuhan yang tiada hujungnya.

Inilah masanya untuk kita semua membina integrasi nasional yang lebih mendalam dan padu dan bisa mengharungi cabaran ekonomi maupun politik.

Tidak merdeka sesuatu masyarakat yang masih lagi dibelenggu kesan-kesan sosial perpecahan "pecah dan takluk" jajahan kolonial - walaupun sudah hampir 50 tahun, berlalu.

Jangan tunggu sampai nasi sudah menjadi bubur - nanti semua yang kita usahakan untuk generasi kemudian, akan hancur.

Saturday, August 26, 2006

Mencari Keberkesanan

Seringkali, kita diingatkan bahawa ramai di kalangan muda-mudi anak Malaysia telah hilang minat dalam politik Malaysia.

Keadaan ini tidaklah memeranjatkan. Sebenarnya, banyak faktor yang bertanggungjawab atas fenomena ini.

Kemungkinan besar antara faktor-faktor tersebut adalah sistem pendidikan yang meremehkan fakta dan nilai sejarah, pendidikan mengenai hak dan tanggungjawab kerakyatan yang lemah, penekanan ke atas gaya hidup "workaholic" dan materialis, ahli politik yang tidak mencerminkan peranan "role model" dan merendahkan martabat akauntabiliti, parti-parti politik yang mengamalkan sifat perkauman/chauvinis yang berlebihan (atau bagi setengah golongan minoriti, berkurangan) dan budaya politik yang gagal menentang rasuah dan korupsi, baik didalam parti, mahupun kerajaan.

Ramai anak Melayu sekarang yang tidak kenal pemimpin politik mereka, melainkan Perdana Menteri semasa. Ini satu hakikat.

Dan lazimnya, mereka lebih tahu akan kisah intim kehidupan artis tempatan dari sejarah negara mereka sendiri - secara tidak sengaja, secara amnya, kita telah melahirkan sebuah generasi yang tidak berakar-umbi dan bertunjang atas sejarah dan perjuangan nasionalis zaman silam.

Ada juga diantara anak-anak Cina yang tidak kenal Presiden parti politik Malaysian Chinese Association (MCA) mereka sendiri - seperti cerita yang telah dihuraikan oleh Dato' Seri Ong Ka Ting apabila seorang anak muda berbangsa Cina telah bertanya kepada beliau "awak kerja apa?" Saya hanya boleh bayangkan perasaan Dato' Seri Ong Ka Ting pada masa itu!

Kegagalan ini lebih meruncing bila kita lihat golongan muda-mudi yang "buta politik" ini, sesetengahnya dari golongan profesional dan yang berpendidikan tinggi bertahap ijazah.

Kerana ceteknya pendidikan sejarah dan pemahaman politik mereka - teramat mudah pendapat politik mereka disumbalewengkan oleh politikus tanpa integriti, yang berniat jahat atau wakil rakyat yang bertindak lebih atas emosi dan puak politik, dari kewajaran.

Dan lebih iya dari tidak, mereka lebih rapat kepada bahagian politik yang lebih menguntungkan poket mereka sendiri - amalgam kuasa dan wang yang membolehkan mereka mendapat kontrak-kontrak kerajaan atau habuan kewangan lain. Pada pendapat mereka, apa salahnya, menyelam sambil minum air?

Memang ada persepsi yang kuat yang ramai anak muda berkecimpung dalam politik, bukan untuk berkhidmat untuk rakyat jelata, tapi untuk memperkayakan diri mereka sendiri. Lebih sedih lagi, bila pegangan songsang seperti itu, diterima sebagai satu kebiasaan atau "part of reality".

Tapi sedarkah mereka, yang kebiasaan seperti itulah yang mengeruhkan kepercayaan rakyat terhadap wakil-wakil politik? Yang membuat mereka yang baik lagi berbakat, menjauhkan diri dari politik berparti?

Dan jika mereka yang baik dan berbakat, enggan bertapak dan mengambil peranan dalam dunia politik - apa akan jadi kepada barisan lapisan kepimpinan parti yang memerintah dan barisan Kabinet sekarang, mahupun masa depan?

**************************************************

Memang tidak semua orang muda dalam politik seperti itu - ada segelintir yang masih ikhlas, percaya kepada ideologi parti dan mementingkan kerja dan khidmat kepada rakyat, lebih dari kepentingan sendiri.

Lihat saja kepada sayap politik Wanita UMNO dan Puteri UMNO, Wanita MCA dan sebagainya - melalui aktiviti mereka, mereka lebih aktif dan fokus menggerakkan agenda rakyat dari kaum lelaki, dalam parti-parti mereka.

Dan tidak kurang ramainya juga yang bukan ahli parti politik, tapi aktif dalam persatuan-persatuan belia dan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan yang mewakili kepentingan industri tertentu (seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM)) .

Kebanyakan mereka lebih bergiat dari aspek polisi dan perlaksanaan, lebih dari politik semata-mata.

Kerapkali, suara mereka, walaupun kurang lantang suaranya dan lebih bersikap "dialog/pujukan dibelakang tabir" kepada kerajaan atau "persuasion behind closed doors", tapi jauh lebih efektif berbanding sayap politik dan mengandungi lebih nilai tambah ("value-add") oleh kerana kepakaran dan pengkhususan mereka dalam sesuatu bidang.

Tambah lagi, kualiti modal insan ("human capital") dalam kebanyakan inisiatif atau badan bukan politik, lebih tinggi dan fokus untuk memanafaatkan pihak yang mereka wakili, lebih tajam dan telus.

Kebiasaannya, biro-biro polisi dalam parti politik bergantung kepada mereka yang diluar untuk "menyuap" mereka dengan ide-ide polisi yang bernas dan konkrit. Dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan menangani isu-isu sosial, pentingnya badan-badan bukan politik tidak boleh kita remehkan.

*****************************************************

Apa saja organisasi rakyat yang kita ceburi - baik dalam bidang politik atau polisi/luar politik - yang lebih penting adalah keberkesanan dalam inisiatif tersebut.

Tidak guna kita melaung dan membuka kesilapan kerajaan, tapi melepas batuk di tangga dalam memberi alternatif kepada kepincangan yang sedia ada. Perlu ada satu sikap "Perhubungan konstruktif" ("constructive engagement") dalam menyelesaikan semua isu nasional, baik dari segi polisi maupun perlaksanaan.

Dan yang lebih penting - tanya pada diri sendiri - adakah aku berminat untuk menjana perubahan substantif atau mencipta nama, menyalak bukit? Mana-mana kerajaan di dunia pun mempunyai kelemahan dalam pentadbiran mereka - tapi kita harus fikir, apakah cara yang paling efektif dalam menangani kelemahan tersebut, satu persatu?

Ramai kita dalam politik hari ini yang gemar menaikkan dan menjatuhkan pemimpin sebagai satu hobi sambilan - kononnya, menagih perubahan.

Tetapi "kepincangan sistemik" seperti politik wang dan rasuah yang menular, birokrasi kerajaan yang lembab dan melumpuh, menteri-menteri yang melayan kementerian mereka seperti rumah mereka sendiri, polarisasi dan politik kaum yang semakin merebak, sistem pendidikan yang menumpulkan kebolehan berfikir, penggabungan usaha yang lemah antara universiti dan pihak swasta dan sebagainya - tidak boleh diubat dengan bertukar pemimpin diatas sahaja.

"Kepincangan sistemik" ini memerlukan pendekatan berfokus dan spesifik yang akan mengambil masa yang agak panjang, untuk diperbetulkan.

Dan ia memerlukan usaha dan sokongan aktif semua pihak, termasuk rakyat - bukan kerajaan sahaja. Ia memerlukan semua pihak memerangi penyelewengan di semua aras dan menentang semua pihak yang korup, bodoh dan lembab - walaupun, yang diperangi itu adalah ahli keluarga, sahabat handai atau rakan seperjuangan.

Mungkin cara penentangan itu berlainan - tetapi yang penting - caranya beradab dan menunjukkan kita tidak berpeluk tubuh membiarkan sahaja, penyeleweangan berlaku dihadapan mata kita.

Tidak patut rakyat Malaysia menggesa pemimpin kita melakukan perkara yang kita sendiri tidak sanggup buat. Tiada keikhlasan dalam kepimpinan ataupun pengikutan ("followership") begitu.

Dan jika kita sendiri merasa berat mengambil tindakan terhadap ahli keluarga atau rakan-rakan sendiri, maka rendahkanlah harapan kita terhadap pemimpin kita dan janganlah menjadi hipokrit sensasi - kerana Tuhan tidak buta.

*******************************************************

Dan satu lagi - apabila kita masuk dalam sesuatu organisasi rakyat - kita mesti percaya pada pegangan teras organisasi tersebut. Tidak adil jika kita menjadi ahli dan kita menolak nilai-nilai teras badan tersebut.

Kerana lama-kelamaan, jika kita akui, akan hadir konflik dalaman dalam diri kita sendiri - antara prinsip dan ketaatan kepada teras dan pucuk pimpinan yang dilantik. Dan ini akan mengurangkan keberkesanan kita dan menghakis kredibiliti, kerana pegangan yang kurang konsisten.

Dan sentiasa ingat tanggungjawab utama kita adalah rakyat yang kita wakili.

Berkhidmat untuk keberkesanan dan menjana perubahan yang lebih baik adalah satu amanah untuk semua pemimpin, bukannya fora untuk menonjolkan kepandaian dan kehebatan sendiri.

Pemimpin yang terbaik di kalangan kita mengutamakan kejayaan matlamat, lebih dari kemegahan diri.

Friday, August 25, 2006

Peringatan Menjelang Merdeka

Dari sebuah ucapan Allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-2, kepada Majlis Perundingan Negara, yang bertanggungjawab mengukir bentuk akhir "Rukun Negara", selepas tragedi Mei 13, 1969:


"Tidak syak lagi bahawa kita di Malaysia ini masih berpecah belah menurut keturunan, agama dan kelas.

Oleh itu hendaklah kita bertanya kepada diri kita sendiri apakah bentuknya masyarakat Malaysia yang hendak kita cipta bagi generasi kita dan bagi generasi-generasi yang akan datang.

Perpaduan yang kita citakan itu bukanlah perpaduan antara kaum semata-mata bahkan perpaduan antara golongan ekonomi dan masyarakat kita. Kita ingin menegakkan suatu masyarakat yang bersatu padu, yang adil, yang liberal dan yang progresif.

Akan tetapi, walau apa pun bentuk dan isinya masyarakat itu akhirnya nanti, maka bagi mencapainya hendaklah kita berpandukan pada beberapa kanun kesopanan bermasyarakat yang tertentu. Ini haruslah termasuk perkara-perkara seperti taat setia kepada raja dan negara, mendukung kehendak-kehendak perlembagaan dan menjunjung tinggi peraturan undang-undang.

Marilah kita ingat bahawa kita tidak harus menerima nikmat daripada tanah air kita lebih dari apa yang kita sanggup memberikan kepadanya.

Malaysia akan riang dan makmur hanyalah kalau kita orang-orang Malaysia sanggup memberi khidmat kita kepadanya, memberikan kasih dan taat setia kepadanya, dan menhadikan dia negeri yang riang dan makmur.

Jadi kalau kita hendak selamat sebagai satu bangsa, terpaksalah kita mengikat diri kita semula menjunjung beberapa prinsip hidup yang tertentu, iaitu prinsip-prinsip hidup yang lebih utama dan lebih mulia dari kebesaran dan kemegahan keturunan, agama, kebudayaan, kelas dan pegangan-pegangan politik.

Masanya telah tiba terpaksa membelakangkan kepentingan-kepentingan kumpulan yang sempit-sempit dan hendaklah kita memikirkan kepentingan yang lebih besar, iaitu kepentingan negara seluruhnya."


*****************************************************

Menjelang Hari Merdeka, saya ingin bertanya: Berapa ramai pemimipin dan rakyat Malaysia yang masih ingat dan menjiwai Rukun Negara dalam hubungan dan kehidupan seharian? Berapa ramai yang masih ingat pesanan Tun Razak?

Ya, dunia berkiblat globalisasi hari ini sudah pastinya jauh berbeza dari cabaran-cabaran pada zaman Tun Razak.

Tapi tiada sebab mengapa dalam kita memperdebatkan isu-isu sosio-politik semasa, yang kita harus abaikan adab-adab Rukun Negara.

Dunia pasti berubah, penduduk Malaysia mungkin makin mewah, teknologi maklumat mendayakan keterbukaan politik rakyat yang tidak ada tolok-bandingnya, dalam sejarah Malaysia.

Tapi adakah kita ingin mendakap sebuah kebebasan yang meruntuhkan nilai-nilai murni kemasyarakatan kita? Adakah lebih bermakna mempunyai sebuah demokrasi terbuka yang semakin lama, semakin menghakis polarisasi kaum? Adakah cukup dengan pertumbuhan ekonomi yang membawa kepada pendudukan (dan persekolahan) "satu kaum" yang menjauhkan lagi jarak diantara kaum?

Negara majmuk lagi bersejarah rumit seperti Malaysia sebenarnya bertunjangkan demokrasi yang tidak mungkin serba-serbi tulen dan juga tidak mungkin sesuai dengan demokrasi "adversarial" ala Barat.

Demokrasi kita, sebenarnya demokrasi menarik rambut dalam tepung -rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Demokrasi ini, adunan kita sendiri supaya akhirnya, menghala kepada acuan perpaduan Bangsa Malaysia.

Demokrasi kita mesti berlandaskan nilai-nilai Rukun Negara yang mesti dituruti oleh semua pemimpin politik (baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang), pemimpin masyarakat, pemimpin keluarga dan pengikut-pengikut mereka.

Penting kita mendalami dan menjiwai erti Rukun Negara - supaya setiap rakyat Malaysia dapat mempertahankan nilai-nilai tersebut dalam lingkungan hidup masing-masing. Dalam konteks yang paling terhad, kita semua sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri, jika tidak orang lain.

Kerapkali, mereka yang bergelar atau digelar pemimpin melanggar etika Rukun Negara dalam kepimpinan mereka. Menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk mengingatkan mereka - "dengan kesopanan dan kesusilaan"

SELAMAT HARI MERDEKA YANG KE-49!! Semoga Allah memberkati Malaysia.






Tujuan dan Niat

Aku memulai blog ini atas beberapa sebab:

1) Kerana aku sedar akan kurangnya suara-suara alternatif isu-isu semasa dalam alam fikiran siber Melayu dan sebagai anak Melayu dan anak Malaysia yang tulen, aku perlu mengorak langkah memberi sumbangan buah fikiran, yang tidak kenal batas politik berparti, berpuak mahupun perkauman;

2) Kerana aku sedar bahawa buah fikiran isu-isu semasa, mesti ada wadahnya dan tidak dicampur-adukkan dengan isu-isu blog peribadi, seperti yang aku amalkan sebelum ini.

Mungkin ada silapnya caraku sebelum ini - tapi lazimnya di Malaysia, khalayak ramai lebih suka mempersoalkan personaliti yang memperkatakan, dari isu yang diketengahkan.

Mungkin kerana kita kurang percaya dengan insan lain dan keikhlasan mereka berkongsi pendapat. Mungkin kerana mereka menunjukkan bias yang luarbiasa dan tidak berkecuali, dalam melontar analisis isu-isu politik semasa. Mungkin kerana ramai rakyat Malaysia yang takut ditipu atau diperalatkan, oleh mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

Itulah sebabnya blog-blog "anonymous" berleluasa di alam siber - identiti halimunan membolehkan mereka berkata-kata dengan lebih bebas, tanpa mengambil risiko diserang balas secara peribadi, oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab atau yang mempunyai niat yang berselindung.

Dan sebenarnya, jika kita akui yang lebih ramai blog-blog di alam siber ini lebih bersifat peribadi - kita akan fahami keperluan mereka untuk menyelindungi identiti sebenar mereka dibelakang nama-nama rekaan yang canggih.

Nama samaran itu umpama baju kebaya yang ketat - walaupun mungkin ternampak bentuk badan, tapi bahagian yang tidak wajar nampak, masih terlindung. Bagi ramai "blogger peribadi" - mereka berkongsi pengalaman yang pada amnya, telah dialami oleh ramai insan yang lain. Mereka berkongsi nilai cerita itu - tanpa harus menelanjangkan hidup mereka sendiri.

Bukan semua blog "anonymous" itu "penembak curi" - niat dibelakang penulis blog itu perlu kita teliti - sebelum kita menjatuh hukum keatas mereka.

Kebebasan bercakap berbagai riak wajahnya - tidak semestinya bila seseorang itu membuat satu komen politik dalam satu blog peribadi, yang dia bermain politik dibelakang tabir.

Manusia yang berbincang politik di kedai kopi juga membuat komen dan sekali-sekali menyebarkan khabar angin (yang mungkin dia sendiri tidak pasti atau usul periksa) dengan mudah, tanpa fikir panjang. Tapi kita tidak fikir mereka bermain politik, bukan?

Dalam usahaku melindungi nota-nota hidup peribadiku didalam sebuah blog peribadi sebelum ini, aku telah digelar "bacul", "pengecut" atau "penembak curi" oleh mereka yang menyangka aku lari dari mempertahankan pendapatku di dunia siber. Mereka silap sama sekali.

Walhal, dari tahun 1999 lagi, telah banyak pendapatku yang lebih kontroversial telah aku laungkan di saluran e-mail terbuka, di mana beribu mata telah membaca.

Walaupun, insan ternama yang telah aku perkatakan itu, tahu akan pendapat dan pendirianku - dan menerimanya dengan sifat penuh terbuka, lagi demokratis. Tapi lazimnya, manusia lebih percaya kepada persepsi dari kebenaran. Songsang budaya sebuah negara itu bila fitnah lebih senang diterima dari kebenaran.

Tidak mengapa. Hari ini , aku berdiri di sini - dalam sebuah blog dimana identiti ku terbuka - khusus untuk membincang isu-isu semasa politik domestik, mahupun antarabangsa.

Wadah ini, ingin aku kongsi bersama semua mereka yang ingin berkongsi - dengan satu syarat - semua yang ingin berkongsi atau berbeza pendapat, hendaklah mengamalkan adab berdebat yang halus, tinggi dan saling menghormati.

Serangan peribadi terhadap mana-mana pihak yang berkongsi dalam blog ini akan ku tapis tanpa maaf atau segan-silu - aku tidak percaya pada kebebasan mutlak yang menghalalkan fitnah, cacian, tohmahan atau sabotaj yang terlihat sengaja. Aku tidak ingin blog ini menjadi kubur pada mereka yang telah mati adabnya dan puak pelampau yang celupar.

Dengan itu, Selamat Datang ke Jendela Razak!! :)